Qari, qariah Malaysia muncul johan Majlis Tilawah al-Quran Antarabangsa Ke-53
KUALA LUMPUR 23 Julai – Qari dan qariah Malaysia, Amirahman Abas dan Suraya Abu Hassan muncul johan kategori masing-masing pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-53 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.
Amirahman yang membacakan surah Nahl bermula ayat 65 meraih markah 89.26 peratus manakala Suraya yang memperdengarkan surah Al-Zahraa bermula ayat ke-57 pula mendapat 88.67 peratus. Kedua-duanya menyampaikan bacaan mereka pada malam ini, iaitu malam terakhir majlis tilawah tersebut yang dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung dan disiarkan secara langsung menerusi TV1.
Kemenangan itu membolehkan qari Malaysia tersebut masing-masing menerima hadiah wang tunai RM32,200 berserta trofi dan sijil. Hadiah-hadiah disampaikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Dalam pada itu, qari Filipina, Saudi M. Gandisa muncul naib johan apabila mengumpul markah 88.67 peratus dan tempat ketiga, Abdel Bast Mohamed dari Mesir dengan 87.88 peratus. Bagi kategori qariah, tempat kedua dimenangi peserta Indonesia, Noor Khalidah Kapsul Anwar yang memperoleh markah 88.30 peratus dan ketiga, Nur Azizah Sholichin dari Singapura dengan 86.17 peratus.
Pemenang tempat kedua dan ketiga bagi kedua-dua kategori masing-masing menerima hadiah wang tunai RM22,400 dan RM13,600 berserta sijil. Peserta lain tilawah tersebut pula menerima sagu hati berupa hadiah wang tunai RM4,800 berserta sijil.
Bagi kategori qari, tempat keempat dimenangi qari Iran, Hamidreza Abbasi dan kelima, qari Brunei, Awang Ismail Sulaiman. Qariah dari Brunei, Dayang Nuurfaezah Emran pula menduduki tempat keempat, manakala kelima, Rahima M. Panondiongan dari Filipina.
Majlis tilawah yang berlangsung sejak 16 Julai lalu bertema ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’ menyaksikan 81 peserta (50 qari dan 31 qariah) dari 50 negara mengambil bahagian. Penghakiman tilawah tahun ini dilakukan 16 hakim dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha. Turut berangkat Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun.
Majlis malam ini turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim. – Utusan
p/s: inilah yang patut kita banggakan....Alhamdulillah....
3 comments:
=)
kool
thx for the info.
mnx copy serba sedikit info ni yer...mekasih=)
Post a Comment